DIPLOMA PENGURUSAN PERNIAGAAN


Diploma Pengurusan Perniagaan diperkenalkan bagi melahirkan pelajar dengan pengetahuan asas pengurusan perniagaan merangkumi semua aspek kemahiran asas dan teori yang secukupnya bagi pelajar untuk mempelajari teknik dan konsep berkaitan dalam bidang ini. Program ini adalah sesuai untuk pelajar yang berminat untuk menceburi karier di bidang perniagaan. Selain itu program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kajian perniagaan serta membina pemikiran yang kritis dalam prinsip dan amalan pengurusan perniagaan. Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berinovatif dan berdaya usaha dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengusahakan perniagaan sendiri. Projek pengurusan perniagaan turut menyediakan pelajar dengan pengalaman yang bernilai untuk menjadi asas bagi memulakan perniagaan serta mewujudkan pekerja proaktif dalam sebuah organisasi korporat.

MATLAMAT KURSUS
  • Melengkapkan pelajar dengan konsep asas perniagaan, pengurusan sumber manusia, tingkah laku organisasi dan pengurusan yang berinovasi
  • Mempertingkatkan kemahiran pelajar dalam komunikasi, penulisan laporan dan pembentangan kertas kerja
  • Meningkatkan kecekapan pelajar dalam penyelesaian permasalahan korporat secara efektif dan beretika
  • Mengasah kemahiran pelajar menganalisa dan menentukan faktor yang diperlukan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan produktif dalam sebuah organisasi korporat

PELUANG PEKERJAAN

Setelah tamat program ini, graduan boleh bekerja sebagai Penolong Pengurus Produk, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Pegawai Bank, Penasihat Perniagaan, Pengurus Operasi Eksekutif, Pengurus Pembelian Barangan dan sebagainya.

SYARAT KEMASUKAN:
  • Lulus SPM dengan mendapat 3 kredit di dalam mana-mana mata pelajaran
JANGKAMASA:
8 Semester


Kerjaya sebagai Pengurus Perniagaan
Pernahkah anda semua terfikir apakah kerjaya pilihan anda sebagai pelajar Pengurus Perniagaan? Di sini saya akan menjelaskan apakah kerjaya / pekerjaan pilihan lepasan graduan Pengurus Perniagaan  sama ada IPTA atau IPTS.
Pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan Perniagaan (Diploma) menyediakan mereka untuk memegang jawatan sebagai penolong pengurus di dalam organisasi perniagaan. Latihan yang diberikan merangkumi kemahiran dan pengetahuan am dan asas dalam pelbagai aspek teori dan amali bidang pengurusan yang diperlukan bagi mengurus dan mengendalikan sebuah perniagaan.

Di dalam suasana perniagaan global dan serba mencabar, Pengurusan perniagaan juga menerapkan pengetahuan ilmu perniagaan yang mantap dalam selok-belok pengurusan, serta aspek ekonomi, kewangan, perundangan dan pemasaran dalam mengendalikan sebuah firma perniagaan yang moden. Pembelajaran yang diberikan menerapkan aspek amali dalam pengurusan perniagaan supaya pelajar dapat menghayati keadaan dan suasana sebenar dalam mengurus sebuah perniagaan. Ia bertujuan melahirkan graduan yang bakal berjaya sebagai seorang pengurus ataupun seorang usahawan.

Adakah anda berminat menjadi seorang pengurus yang profesional dalam firma perniagaan?
Seorang pengurus yang dianggap berjaya dan berkesan memerlukan kemahiran dan latihan dalam teknik asas pengurusan perniagaan di dalam suasana perniagaan global yang serba mencabar.

Adakah anda berminat menceburi bidang pengurusan dalam sektor awam?
Sektor awam juga memerlukan kakitangan pengurusan yang terlatih dan mempunyai kemahiran berkomunikasi, menganalisis dan menyelesaikan masalah serta berfikiran secara kritikal.

Adakah anda bercita-cita menjadi seorang usahawan? 
Mereka yang bercita-cita menjadi seorang usahawan memerlukan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam bidang pengurusan perniagaan untuk berjaya dalam pasaran dan suasana perniagaan yang semakin mencabar.


DIANTARA KEMAHIRAN YANG DIPEROLEHI

Menghasilkan perancangan perniagaan
Anda merancang perniagaan syarikat supaya membawa kejayaan. Perancangan perniagaan merupakan rancangan sesuatu perniagaan bagi masa hadapan, mengagihkan sumber-sumber yang diperlukan, fokus kepada aspek-aspek penting perniagaan dan mengenalpasti peluang dan masalah perniagaan yang akan dihadapi.

Perancangan perniagaan bukan sahaja relevan bagi memulakan perniagaan baru atau bertujuan membuat permohonan pinjaman bank, malah penting bagi menguruskan sebuah perniagaan. Perniagaan memerlukan perancangan supaya berkembang dan membangun mengikut prioriti yang telah ditetapkan.

Mengurus atau menyelia jabatan
Sebagai sebarang penyelia atau pengurus jabatan, anda perlu menggembleng daya usaha pekerja di bawah jagaan anda supaya mencapaimatlamat dan sasaran jabatan. Mengurus atau menyelia memerlukan kepakaran merancang, mengatur, memimpin dan mengawal jabatan dan daya usaha supaya mencapai matlamat. Anda juga perlu bijak memperolehi dan menggunakan sumber-sumber tenaga manusia, kewangan, teknologi dan juga sumber asli.

Menguruskan perniagaan francais
Apabila anda menjalankan perniagaan francais anda menggunakan model firma yang telah berjaya. Anda mempunyai minat untuk berjaya kerana anda ada kepentingan dalam francais tersebut. Anda boleh memulakan perniagaan dengan kadar segera berdasarkan jenama perniagaan yang dikenali dan sokongan perniagaan yang diberikan oleh syarikat francais. Namun perniagaan francais mempunyai syarat dan perjanjian tertentu yang perlu diambil kira.

Menjalankan perniagaan sendiri
Sebagai seorang usahawan, anda mengendalikan perniagaan sendiri dan menanggung risiko sama ada berjaya atau sebaliknya. Anda memerlukan dana kewangan yang mencuupi untuk berjaya selain daripada keperluan merancang pemasaran, pengurusan, serta aspek kewangan syarikat anda. Menjadi seorang usahawan bukan sesuatu yang mudah dan ada risikonya. Sebaliknya, jika anda berjaya,ia sangat menguntungkan.

Prospek kerjaya
Bidang ini menawarkan peluang dalam pelbagai industri seperti:-

Pengurusan:
-Pentadbiran
-Pemasaran
-Kajian perniagaan
-Pengurus kewangan
-Penjual
-Sektor Awam
-Pembuatan
-Sumber Manusia
-Keusahawanan


Peluang Pekerjaan Sebagai :-
-Penolong Pengurus
-Pentadbir Pejabat
-Penyelia kilang
-Penjawat awam
-Pengawal latihan dan pembangunan
-Eksekutif Pembangunan Perniagaan
-Pentadbir projek
-Eksekutif kalwalan mutu
-Usahawan